Izhar Syafawi

15 06 2010

Dari sudut bahasa: Menyatakan, menerangkan sesuatu.

Dari sudut istilah Ilmu Tajwid: Mengeluarkan sebutan setiap huruf dari makhrajnya (tempat keluarnya) tanpa dengung.

Ia dinamakan syafawi kerana Mim Sukun iaitu huruf yang zahir keluar dari dua bibir mulut dan ia disandarkan kepada makhraj huruf yang zahir kerana tepat sebutannya. Huruf-huruf Izhar Syafawi adalah terdiri dari dua puluh enam huruf iaitu kesemua huruf hijaiah kecuali huruf Mim dan Ba’.

Perlu diperhatikan apabila terdapat huruf Wau atau Fa’ selepas Mim Sukun, huruf Mim Sukun mestilah dibaca secara Izhar Syafawi (dinyatakan sebutan) supaya terselamat dari keraguan membacanya secara Ikhfa’ di mana huruf Mim wajib dibaca secara Ikhfa’ ketika bertemu dengan huruf Ba’ kerana makhraj huruf Mim dengan huruf Wau adalah sama manakala makhraj huruf Mim dengan huruf Fa’ pula adalah berhampiran.

Sila lihat video di bawah untuk memahami dengan lebih jelas cara membacakan hukum izhar syafawi





Izhar Halqi

5 06 2010

Nun mati dan tanwin perlu dibaca dengan jelas apabila selepasnya terdapat 6 huruf berikut :  غ ,ح ,ع, ,ه ,ء dan خ . Hukumnya dinamakan sebagai IZHAR HALQI.

Izhar dari segi bahasa bermaksud jelas dan terang. Menurut istilah tajwid, izhar bermaksud melafazkan huruf-huruf izhar dari makhrajnya tanpa disertai dengung. Ia dinamakan halqi karena makhraj huruf-hurufnya adalah dari halq (kerongkong).





Hukum Nun Mati dan Tanwin; Pengenalan

4 06 2010

Nun mati atau nun saktah adalah huruf nun yang berbaris mati ( ﻥْ ). Tanwin pula adalah mana-mana huruf yang mempunyai dua baris di atas (ً ), di bawah (ٍ ) dan di hadapan (ٌ ).

Terdapat empat cara dalam membunyikan nun mati dan juga huruf bertanwin.

Pertama : Membunyikan dengan jelas, tanpa dengung – hukumnya izhar

Kedua : Memasukkan bunyi nun ke dalam huruf berikutnya dengan dengung dan tanpa dengung – hukumnya idgham

Ketiga : Menyembunyikan bunyi nun dan tanwin ke dalam huruf berikutnya – hukumnya ikhfa’

Keempat : Menukarkan bunyi nun mati dan tanwin kepada bunyi mim – hukumnya iqlab





Hukum dan Kaedah Membaca Basmalah

3 06 2010

Hukum Membaca Basmalah

Para Ulamak Qurra’ bersepakat harus hukumnya membaca basmalah ketika memulakan bacaan awal surah kecuali pada Surah At-Taubah.

Kaedah Membaca Basmalah

Terdapat 3 wajah dalam membaca basmalah di antara 2 surah :

  1. Membaca akhir surah, waqaf. Kemudian membaca basmalah, waqaf. Kemudian membaca awal surah berikutnya
  2. Membaca akhir surah, waqaf. Kemudian membaca basmalah dan disambung membaca awal surah berikutnya
  3. Membaca akhir surah, kemudian membaca basmalah dan disambung membaca awal surah berikutnya.

Cara Membaca Awal Surah At-Taubah : ( 3 Wajah )

Terdapat 3 wajah dalam membaca awal Surah At-Taubah

  1. Berhenti pada akhir Surah Al-Anfal dan mulakan awal Surah At-Taubah dengan nafas baru.
  2. Saktah (berhenti sebentar tanpa bernafas) pada akhir Surah Al-Anfal dan sambung membaca awal Surah At-Taubah
  3. Membaca sambung akhir Surah Al-Anfal dengan awal Surah At-Taubah





Hukum dan Kaedah Membaca Isti’azah

2 06 2010

Hukum Membaca Isti’azah:

Jumhur ulamak bersepakat menetapkan hukum membaca Isti’azah ketika hendak memulakan bacaan Al- Quran adalah Sunat Muakkad (sunat yg. dituntut)
Dalil :

Surah An-Nahl Ayat (98)

Maksudnya : Oleh itu, apabila engkau membaca Al-Quran, Maka hendaklah engkau terlebih dahulu memohon perlindungan kepada Allah dari hasutan syaitan yang direjam.

Kaedah Membaca Isti’azah

Terdapat 4 wajah dalam membaca isti’azah pada awal surah :

  1. Membaca isti’azah, waqaf. Kemudian membaca basmalah, waqaf. Kemudian membaca awal surah.
  2. Membaca isti’azah, waqaf. Kemudian membaca basmalah dengan disambung membaca awal surah.
  3. Membaca isti’azah dengan disambung membaca basmalah, kemudian waqaf. Kemudian membaca awal surah.
  4. Membaca isti’azah,  basmalah dan awal surah tanpa waqaf.





Definisi Ilmu Tajwid

1 06 2010

Di antara perkara penting yang selalu diabaikan oleh pelajar dalam mempelajari sesuatu ilmu adalah berkaitan dengan DEFINISI ilmu tersebut. Mengabaikan tajuk kecil ini sebenarnya memberikan impak negatif yang besar. Ini kerana mengetahui definisi sesuatu ilmu pada hakikatnya memudahkan kita memahami bidang ilmu tersebut dengan lebih mudah selain meletakkan satu matlamat tentang apa dan kepentingan ilmu yang akan dipelajari serta di mana ilmu tersebut akan dipraktikkan.

Untuk itu, mari kita lihat apakah definisi ilmu tajwid itu sendiri.

DEFINISI ILMU TAJWID

Definisi tentang sesuatu biasanya dilihat dari 2 segi iaitu BAHASA dan ISTILAH.

Dari segi bahasa, tajwid memberi maksud memperelokkan atau mencantikkan sesuatu

Dari segi istilah pula, tajwid bermaksud mengeluarkan setiap huruf dari makhrajnya dengan betul dan menjaga sifat-sifatnya

Dari kedua-dua definisi tersebut, dapat disimpulkan bahawa ilmu tajwid ini dipelajari untuk memperelokkan bacaan Al Quran dengan cara menyebut setiap huruf dengan betul dan tepat iaitu dengan mengeluarkan setiap huruf dari makhrajnya serta menjaga sifat-sifatnya.








Follow

Get every new post delivered to your Inbox.